Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,864 kes (74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga 8 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 68 kes, baharu yang telah dilaporkan, di mana 57 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,564 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan bahawa daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat (4) kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes, di mana sebanyak tiga (3) kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Sehingga kini, seramai 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tujuh (7) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 107 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
#StayAtHome
#BreaktheChain
#KitaMestiMenang
