Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 83 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,567 kes (71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga 5 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 30 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,383 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,710 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan bahawa daripada 30 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tiada kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 30 kes, di mana sebanyak 21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Sehingga kini, seramai 24 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 8 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 106 kes (1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)
#StayAtHome
#BreaktheChain
#KitaMestiMenang