mcmc
Maklumat Am

STATUS TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA 12 MEI 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 110 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,223 kes (77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga 12 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 16 kes, baharu yang telah dilaporkan, di mana sembilan (9) kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia. Ini merupakan kes harian terendah yang pernah dicatatkan sejak kebelakangan ini. Ingin dimaklumkan juga, bahawa daripada 16 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat tiga (3) kes import dan 13 kes penularan tempatan.

Oleh itu, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,742 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,410 kes.

Sehingga kini, seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 109 kes (1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

#StayAtHome
#BreaktheChain
#KitaMestiMenang