Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,113 kes (76 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga 11 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 70 kes, baharu yang telah dilaporkan, di mana 31 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia. Ingin dimaklumkan juga, bahawa daripada 70 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat 13 kes import dan 57 kes penularan tempatan.
Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,726 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,504 kes.
Sehingga kini, seramai 20 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tujuh (7) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 109 kes (1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
#StayAtHome
#BreaktheChain
#KitaMestiMenang
