Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 96 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,025 kes (75.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga 10 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 67 kes, baharu yang telah dilaporkan, di mana 49 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,656 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,523 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Sehingga kini, seramai 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 6 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 108 kes (1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
#StayAtHome
#BreaktheChain
#KitaMestiMenang
