Felda Pasoh 4, Jelebu : Keunikan pertandingan memancing dan mengoca ikan menggunakan kaedah tradisional di FELDA Pasoh 4 di sini, menarik lebih 150 penyertaan dari dalam dan luar daerah ini. Konsep pertandingan menggunakan dua kolam ikan di tanah rancangan berkenaan jelas disukai pihak yang hadir memeriahkan acara. Berdasarkan sambutan ramai, Program ini akan jadikan pertandingan ini acara tahunan, secara tidak langsung dapat mempopularkan kembali cara menangkap ikan dengan memancing dan mengoca. Bagi pertandingan memancing, peserta perlu menggunakan joran tradisional dibuat daripada batang pokok bertam, buluh serta salak. Bagi pertandingan mengoca pula, hanya jala dan jeramak iaitu jaring diperbuat daripada tali tangsi boleh digunakan peserta, pelbagai jenis ikan termasuk tilapia, haruan, lampam, keli dan belida ditangkap peserta sepanjang empat jam pertandingan itu diadakan.
Sumber : Berita Harian